Thursday, 12 May 2016

Pemakanan untuk Pesakit Kanser

Pengenalan
Semua orang perlukan makanan yang seimbang bagi memenuhi segala keperluan badan. Begitu juga dengan pesakit kanser. Tiada makanan yang dapat menyembuhkan kanser dan tiada makanan spesifik yang perlu dimakan atau dielak jika anda menghidapi kanser.
Pemakanan adalah faktor penting dan perlu diambil berat oleh pesakit kanser.Ini adalah kerana kanser dan jenis rawatan yang diambil akan meningkatkan keperluan badan dan menyebabkan anda perlu meningkatkan pengambilan makanan. Corak pengambilan makanan anda juga akan terganggu. Oleh itu, amalan pemakanan yang baik sebelum, semasa dan selepas rawatan adalah penting dan boleh membuat anda rasa lebih sihat dan bertenaga.
Kepentingan Amalan Pemakanan yang Baik

  • Dapat membantu mempercepatkan penyembuhan luka dan tisu yang rosak terutamanya selepas pembedahan, radioterapi, kemoterapi atau rawatan perubatan lain.
  • Dapat membantu menghadapi kesan sampingan rawatan dengan lebih baik dan sembuh dengan lebih cepat.
  • Dapat meningkatkan sistem imun / ketahanan badan bagi membolehkan anda melawan jangkitan.
  • Dapat membantu anda mencapai dan mengekalkan berat badan ideal

.
Pemakanan Sebelum Rawatan
Makan pelbagai jenis makanan akan menolong anda mendapat segala nutrien atau zat yang diperlukan. Badan akan menukar makanan kepada bentuk tenaga. Anda memerlukan tenaga walaupun anda tidak aktif seperti biasa. Oleh itu pengambilan makanan bertenaga dari sumber karbohidrat dan lemak perlu mencukupi.
Makanan berprotein juga  amat penting untuk memperbaiki tisu yang rosak dan mengekalkan sistem imun badan bagi melawan jangkitan kuman atau infeksi. Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran menyumbangkan vitamin, mineral dan serat yang diperlukan oleh badan.
Masalah Pemakanan Semasa Rawatan dan Cara Mengatasi
Rawatan kanser diperlukan untuk membunuh sel-sel kanser, namun begitu ia juga akan merosakkan sel-sel yang sihat. Pelbagai kesan sampingan akan dialami. Kesan sampingan berbeza bagi setiap individu. Ia bergantung kepada bahagian badan yang dirawat, lamanya masa rawatan dan dos rawatan. Kebanyakan kesan sampingan adalah bersifat sementara dan berakhir selepas rawatan selesai.
Kesan sampingan rawatan kanser akan mengganggu corak pengambilan makanan dan menyebabkan anda mengalami masalah pemakanan. Antara masalah yang dihadapi dan saranan untuk mengawal  adalah seperti jadual di bawah:


Pemakanan Selepas Rawatan
Selepas rawatan, kesan sampingan yang dialami akan beransur hilang. Selera makan mungkin akan meningkat. Anda masih perlu menjaga pengambilan makanan agar sentiasa cergas dan sihat. Antara amalan pemakanan yang disarankan adalah:
  • Makan makanan seimbang dan berkhasiat. Pelbagaikan makanan anda.
  • Makan 5 atau lebih pelbagai hidangan sayur dan buah setiap hari.
  • Pilih karbohidrat kompleks dan bijirin penuh bagi meningkatkan pengambilan serat dalam diet anda.
  • Kurangkan pengambilan lemak dan garam dalam makanan.
  • Pilih makanan yang boleh kekalkan berat badan sihat. Seimbangkan pengambilan makanan dengan aktiviti fizikal.
Sumber : Myhealth

No comments:

Post a Comment