Adakah anda kenal dengan logo Halal Malaysia? Isu halal dalam makanan dan barang kegunaan harian sering diperkatakan kebelakangan ini terutamanya dalam kalangan pengguna yang beragama Islam. Disebabkan itu, pengeluar produk makanan dan barang kegunaan harian di Malaysia berpusu-pusu untuk memastikan produk keluaran mereka mendapat sijil halal dan seterusnya dapat menggunakan logo halal yang sah pada label produk mereka.
Namun begitu, terdapat juga pengeluar yang tidak bertanggungjawab mengambil jalan pintas dengan menggunakan logo halal Malaysia tanpa kebenaran. Selain itu, lambakan produk dari luar negara yang menggunakan pelbagai logo halal dari negara-negara yang berlainan juga boleh mengelirukan pengguna. Sebagai pengguna, kita haruslah mengenali dengan lebih dekat logo halal Malaysia dan logo halal lain yang diiktiraf supaya kita tidak terdedah dengan penipuan ini.
Justeru, artikel ini akan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai ciri-ciri logo halal Malaysia untuk dijadikan panduan kepada pengguna. Selain itu, anda akan didedahkan dengan pengeluar logo halal seluruh dunia yang diiktiraf oleh JAKIM dan juga panduan untuk mencari produk halal.
Logo Halal Malaysia
Logo halal bermaksud logo yang didaftarkan di bawah Akta Cap Dagangan 1976 dikeluarkan oleh pihak berkuasa yang diiktiraf iaitu pihak berkuasa (mana-mana satu yang berkenaan) :
- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), atau
- Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), atau
- Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
Mulai 1 Januari 2012, hanya 1 sahaja logo halal yang diiktiraf di Malaysia iaitu logo halal yang dikeluarkan oleh JAKIM/JAIN/MAIN. Lazimnya logo halal Malaysia akan dicetak pada label makanan atau barang kegunaan harian dan dipamerkan di premis berkenaan. Mari kita kenali logo Halal Malaysia dengan lebih terperinci :
Rajah 1 : Logo Halal Malaysia dan penerangannya.
Halal berasal daripada perkataan Arab yang membawa maksud dibenarkan atau dibolehkan oleh hukum syarak.
Menurut Perintah Perihal Dagangan 2011 (Penggunaan Perbahasaan Halal), takrif halal bermaksud :
“Apabila digunakan berhubung dengan makanan dalam apa-apa juga bentuk dalam perjalanan perdagangan atau perniagaan sebagai suatu perihal dagangan atau sebagai sebahagian daripada suatu perihal dagangan yang dipakai bagi makanan itu, perbahasaan-perbahasaan ‘Halal’, ‘Ditanggung Halal’ atau ‘Makanan Islam’ atau apa-apa perbahasaan lain yang menunjukkan atau mungkin difahamkan sebagai menunjukkan bahawa orang-orang Islam adalah dibenarkan oleh agama mereka memakan makanan itu maka perbahasaan itu hendaklah mempunyai erti yang berikut, iaitu makanan yang berhubung dengan perbahasaan atau perbahasaan-perbahasaan itu digunakan :
- bukanlah terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda daripada binatang yang orang Islam dilarang oleh Hukum Syarak memakannya atau yang tidak disembelih mengikut Hukum Syarak;
- tidaklah mengandungi apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut Hukum Syarak;
- tidak disedia, diproses atau dikilang dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas daripada benda-benda najis mengikut Hukum Syarak; dan
- tidaklah dalam masa menyedia, memproses atau menyimpannya itu bersentuhan atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang tidak memenuhi kehendak-kehendak perenggan (a), (b) atau (c) atau apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut Hukum Syarak.”
Di Malaysia, pihak yang bertanggungjawab untuk mengeluarkan sijil dan logo halal tersebut adalah JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Pensijilan halal di Malaysia adalah bersifat sukarela iaitu tidak diwajibkan kepada pengilang produk tetapi mereka digalakkan untuk memohon pensijilan halal.
Setelah mendapat pensijilan halal, mereka adalah tertakluk kepada peraturan dan syarat-syarat yang terkandung di dalam sijil tersebut. Logo halal tersebut bolehlah dipamerkan di tempat yang sesuai atau dicetak pada label mengikut kesesuaian produk tersebut.
Penggunaan logo halal tidak hanya terhad kepada produk makanan sahaja. JAKIM menyediakan tujuh (7) skim pensijilan halal. Skim tersebut adalah :
- Produk makanan dan minuman
- Barang kegunaan harian
- Premis makanan
- Rumah sembelih
- Logistik
- Farmaseutikal
- Kosmetik dan dandanan diri.
Namun begitu, terdapat beberapa jenis produk yang tidak layak untuk dipersijilkan halal. Antaranya :
- Produk tidak halal
- Produk farmaseutikal yang memerlukan preskripsi daripada doktor
- Produk yang memberi implikasi negatif kepada agama dan sosial (contoh : dadah, rokok, pewarna rambut dan kuku)
- Baja dan makanan binatang
- Pinggan-mangkuk dan bekas makanan/minuman
- Produk yang menggunakan nama yang sinonim dengan dengan nama tidak halal seperti ham, bak kut teh, bacon, beer, rum, brew, char siew dan seumpama dengannya
- Produk siap luar negara yang dilabel semula (relabelling) tanpa menjalani apa-apa proses di Malaysia
- Penggunaan jenama yang sama bagi produk halal dan tidak halal.
Sebagai pengguna, kita haruslah memeriksa dengan teliti logo halal yang digunakan pada label produk atau yang dipamerkan di premis-premis. Pastikan bahawa hanya logo halal Malaysia seperti yang dipaparkan di atas sahaja yang digunakan. Ini adalah bagi mengelakkan kekeliruan kepada pihak pengguna sekiranya terdapat terlalu banyak logo halal lain yang digunapakai.
Antara logo halal yang dilarang penggunaannya di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 adalah :
Selain Malaysia, terdapat beberapa negara di seluruh dunia yang mempunyai badan pensijilan halal. Badan pensijilan halal tersebut telah diiktiraf oleh JAKIM dan logo mereka dibenarkan untuk dipamerkan pada produk keluaran negara mereka.
Sebagai pengguna terutamanya yang beragama Islam, adalah sangat penting untuk kita mengenali badan-badan pensijilan halal tersebut yang diiktiraf. Perkara ini dapat mengelakkan kita daripada berasa ragu-ragu untuk membeli barangan atau memasuki premis-premis tertentu ketika berada di luar negara.
Berikut adalah senarai badan pensijilan halal di luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM setakat 15 Februari 2016.
Panduan Mencari Produk Halal Di Malaysia
Tahukah anda, telah banyak syarikat di Malaysia yang memiliki Sijil Halal Malaysia? Jumlah ini juga semakin bertambah dari hari ke hari. Bagaimanakah caranya untuk kita mendapatkan maklumat mengenai produk halal tersebut?
Jangan risau, semua maklumat tersebut kini berada di hujung jari anda. Terdapat beberapa platform yang disediakan oleh JAKIM kepada pengguna bagi memudahkan carian produk halal. Antaranya adalah :
- SMS
- Memuat turun aplikasi “Halal Square” pada telefon pintar (Android dan iOS)
- Melayari laman web www.halalpages.com.my
- Melayari portal rasmi Halal Malaysia : www.halal.gov.my
Sebagai pengguna, kita terdedah dengan pelbagai produk yang terdapat dalam pasaran di negara kita. Sebagai pengguna muslim, adalah merupakan satu kewajipan bagi kita untuk mencari makanan mahupun produk yang halal.
Justeru, kita haruslah berhati-hati dalam memilih produk-produk yang dijual.
- Pastikan produk-produk mempunyai logo Halal Malaysia ataupun logo halal daripada badan pensijilan halal yang diiktiraf oleh pihak JAKIM.
- Perhatikan logo yang digunakan, jangan sampai kita terbeli produk yang menggunakan logo halal palsu.
- Pilihan yang bijak akan memastikan pengambilan makanan yang suci dan bersih.
- sumber : Portal Rasmi Myhealth Kementerian Kesihatan Malaysia
No comments:
Post a Comment